Ahad, 11 November 2012

Literasi Bahasa Malaysia

Salam sejahtera dan Salam 1 Malaysia,
         Dunia Pendidikan Prasekolah amatlah seronok. Bagi mereka yang berpeluang menghadiri ke kelas prasekolah sudah tentu banyak cerita dan pengalaman ketika itu. Tidak disangkal kanak-kanak yang menghadiri kelas prasekolah lebih bersedia untuk menghadapi alam persekolahan yang lebih tinggi. Melalui pembelajaran di prasekolah, kanak-kanak memperoleh pengalaman yang menyuburkan melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan di kelas prasekolah. Coretan kali ini, saya akan menumpukan kepada pembelajaran literasi Bahasa Malaysia.
          Menurut Kamus Dewan, literasi bermaksud berkebolehan menulis, membaca dengan baik dan lancar, memahami perkataan, ayat tunggal dan ayat majmuk yang mudah atau celik huruf. Manakala bahasa bermaksud sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia (antara seorang individu dengan individu yang lain).
         Ini bermaksud penggunaan bahasa perlu dalam proses mengajar kanak-kanak supaya celik huruf atau berkebolehan menulis dan membaca dengan baik dan lancar. Kemahiran Bahasa merangkumi kemahiran mendengar, kemahiran bertutur, kemahiran membaca dan kemahiran menulis.
         Banyak kaedah dalam menguasai kemahiran bahasa antaranya melalui nyanyian. Kanak-kanak dekat dengan dunia muzik. Untuk permulaan pembelajaran, kanak-kanak perlu didedahkan kepada huruf, dan seterusnya suku kata setelah mereka mengenali semua huruf.
Marilah kita bersama-sama kenali huruf melalui video di bawah.